MENU

Selamatkah vaksin COVID-19 untuk warga emas dan kumpulan rentan?

Vaksin COVID-19 adalah selamat untuk diambil oleh golongan warga emas dan kumpulan rentan.

Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) KKM, Dr Kalaiarasu Peariasamy berkata, lebih 150 juta dos vaksin telah diambil di seluruh dunia dan tiada kesan sampingan yang teruk dilaporkan setakat ini.

Warga emas ialah individu berumur 60 tahun ke atas manakala kumpulan rentan ialah individu berumur 18 tahun ke atas yang mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetes, masalah jantung atau buah pinggang.

Katanya, sakit dan tanda kemerahan atau bengkak di bahagian yang disuntik adalah kesan sampingan biasa yang hilang dengan sendirinya dalam masa 2-3 hari.

Dr Kalai berkata, warga emas dan kumpulan rentan diutamakan untuk menerima vaksin kerana mereka mendapat pelbagai komplikasi apabila dijangkiti COVID-19

"Warga emas dan kumpulan rentan adalah kumpulan yang perlu dilindungi. Oleh itu, kita mengutamakan kumpulan ini dalam pemberian vaksin," katanya dalam program Agenda Awani.

Setakat 14 Feb 2021, 965 orang telah menjadi korban COVID-19 di negara ini dengan 80% berumur 60 tahun ke atas dan berpenyakit kronik.

Dr Kalai bagaimanapun berkata, individu yang mengalami alahan teruk atau severe alergic kepada ubat, perlu mendapatkan nasihat daripada petugas kesihatan sebelum mengambil vaksin.

Warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan kumpulan rentan adalah penerima vaksin bagi fasa kedua yang akan bermula April hingga Ogos.

Pendaftaran untuk penerima vaksin fasa 2 dan 3 akan dibuka bermula Mac ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin ketika menjawab soalan pengguna Twitter berkata, pendaftaran dibuka lebih awal untuk membolehkan anak-anak mendaftarkan ibu bapa mereka.

Jika ibu bapa anda warga emas dan mempunyai penyakit kronik, daftarkan mereka untuk menerima vaksin.

Fasa Pemberian Vaksin

Last Updated: Monday, 1 March 2021 - 4:34pm